Wanita Islam era milenium perlu bijak mencari, mengguna ilmu
KEPEMIMPINAN wanita Islam alaf baru ini adalah isu perlu diberi perhatian oleh wanita Malaysia hari ini. Ramai beranggapan bahawa wanita era milenium adalah bebas, canggih keterampilan fizikal dan penampilan lahiriahnya. Mereka juga dikatakan berkerjaya tinggi serta dilimpahi hidup mewah.
Hasilnya wanita era milenium seperti di atas akan terus berlumba mencuba segala fesyen terbaru dan teknologi terkini bagi meletakkan diri dalam persada `kehidupan moden' yang dieksploitasi oleh pihak yang menggunakan umpan `kecantikan' sebagai matlamat hidup.
Sementara itu, apabila disebut wanita Islam solehah hari ini, media dunia kerap menggambarkannya sebagai seorang wanita berwajah muram. Mereka berselubung hitam, pendiam, pasif, tidak boleh atau tidak mampu menyatakan pandangan sendiri, dikerumuni anak comot, sentiasa merengek dan menangis tanpa henti serta terpenjara dan dibelenggu dalam rumah keluarga suaminya.
Alangkah malangnya jika era milenium ini akan terus melihat gambaran stereotaip wanita sebegitu, yang tidak menjanjikan peluang meningkatkan prestasi diri, apa lagi menyumbangkan bakti kepada masyarakat.
Jadi dalam pertembungan persepsi martabat dan status wanita Islam hari ini, satu definisi tepat bagi wanita Islam era milenium perlu dicari dan dirumus.
Wanita Islam era milenium perlu menjadi pemimpin dan dipimpin, semestinya profesional, mampu menggarap dan mengamalkan `kesempurnaan Islam'. Selain itu, mereka perlu mempunyai identiti asas dari sudut pegangan serta kontemporari dalam setiap pendekatan.
Wanita Islam era milenium perlu mempunyai keterampilan kepemimpinan yang peka dan prihatin. Mereka merasakan segala kerosakan dan gejala sosial yang berlaku dalam masyarakat berpunca daripada ketidakberkesanan kepemimpinan, yang tidak mampu membawa masyarakat menggemblengkan tenaga dalam satu komuniti sejahtera.
Kepemimpinan adalah aspek terpenting dalam menentukan kejayaan atau kegagalan sesuatu aspirasi dan harapan. Malah, kita akan hanya mengundang bahaya dan kehancuran jika tanggungjawab kepemimpinan diletakkan atas bahu mereka yang tidak berilmu, tidak beramanah dan tidak berwibawa.
Kelompok wanita yang tidak berupaya memimpin diri mereka sendiri ke arah kesejahteraan akan menjadi sasaran paling mudah bagi segala bentuk penindasan, penderaan dan kezaliman.
Wanita yang tidak mempunyai kendiri tinggi akan mudah melutut dan tunduk kepada kekerasan dan penghinaan. Jiwa wanita yang terbelenggu dan tidak diperkasakan akan terus menerus terhimpit dalam lingkaran kerumitan dan kesukaran.
Senario semasa yang melambangkan kesempitan hidup wanita terpinggir dalam banyak persaingan hidup di dunia hari ini, sebenarnya menjadi satu manifestasi jelas bagaimana sebenarnya wanita merelakan diri mereka dikuasai dan dijajah serta ditentukan untung nasib mereka oleh orang lain.
Wanita Islam perlu memimpin dan dipimpin dalam menerajui kehidupan seimbang. Tidak hanya mengejar dunia kerana agama tetap dijunjung walau pada zaman mana kita berada.
Untuk menjadi pemimpin, wanita perlu meningkat ilmu dalam diri, keupayaan membuat keputusan, mampu membimbing dan memperjuangkan nasib kaum sejenis untuk maju.
Akhirnya terbentuklah generasi contoh yang akan memakmurkan negara dan agamanya.
Hasil pemerhatian dan pembabitan dalam masyarakat wanita, beberapa kepincangan dan ketidakseimbangan dapat dilihat, seperti:
Sebahagian wanita mengambil sikap dan amalan ekstrim, tetapi mengambil mudah dalam perkara lain yang lebih.asas.
Dilema di antara perjuangan wanita bebas yang melampau, menolak kaum lelaki, dengan persepsi taraf wanita Islam yang menjadi pak turut dan membuta tuli, tertindas, teraniaya, tetapi lemah tidak berdaya dalam masyarakat.
Ada wanita Islam berjaya dalam kerjaya, tetapi rumah tangganya porak-peranda.
Ada wanita Islam solehah, bertakwa dan tekun melaksanakan perintah Allah tetapi mengambil mudah dalam menjaga kebersihan badan dan gigi serta bau badan dan mulutnya dan tidak mempedulikan perasaan orang di sekelilingnya.
Ada wanita Islam `moden' menjaga kesihatan dan tubuh badannya saja, tetapi lalai dalam menyempurnakan perintah Allah dan kesempurnaan agamanya.
Ada wanita Islam kuat beragama tetapi tidak menjaga lidahnya dalam majlis dengan tanpa segan silu mengumpat, mengata orang, menghasut dan tidak menghormati serta menjaga hubungan dengan jirannya.
Ada wanita baik, manis dan mudah mesra dengan orang tidak dikenalinya, tetapi lalai dalam tanggungjawab terhadap kedua ibu bapa, malah tidak memuliakan mereka.
Ada wanita berbuat baik kepada ibu bapanya tetapi mengabaikan suaminya, dan mempermudahkan pergaulan dengan suaminya.
Ada wanita sentiasa berpakaian paling cantik dalam sebarang perjumpaan, mesyuarat, keramaian tetapi tidak berhias di hadapan suaminya.
Ada wanita Islam menjaga suaminya dengan rapi tetapi mengabaikan pendidikan anak-anak dalam pembentukan keperibadiannya, gagal memahami perasaan, jiwa, akal dan usia mereka dan pelbagai lagi bentuk pengabaian emosi.
Kepincangan di atas berlaku kerana kejahilan, suka meniru membuta tuli, sifat tunggu dan lihat, serta tidak proaktif dalam mengharungi hidup dalam gelombang globalisasi.
Kini tibalah masanya wanita Islam keluar dari tempurung kejahilan mereka. Tidak boleh tidak wanita Islam perlu keluar dari kepompong massa bodoh ini.
Mereka harus disedarkan dan dipimpin untuk memimpin serta menjadi `guru' kepada dunia.
Wanita Islam perlu keluar untuk membentuk dan melahirkan wanita misali beridentiti yang memberikan kesan besar dalam pendidikan generasi, mencipta pahlawan dan wira, menanam budi luhur, mengukuhkan nilai agung, menyinari kehidupan dengan cinta, kasih sayang dan keindahan. Sekali gus memenuhkan rumahnya dan menyinari masyarakatnya dengan keamanan, kesejahteraan, ketenangan, reda dan kedamaian.
Ramuan berkesan ke arah ini adalah `pencarian ilmu' dengan mengambil sumber dan pengajaran daripada wahyu Ilahi serta mengadunkannya dengan ilmu terkini dan kontemporari yang kemudiannya diterjemahkan dalam kehidupan seharian.
Ir. Hjh. Endok Sempo M Tahir adalah seorang jurutera, juga wanita JIM
0 comments:
Post a Comment