Seanggun Saidatina Khadijah, Sepintar Saidatina Aisyah & Semanis budi Saidatina Fatimah

Pindaan enakmen Islam Selangor siap bulan depan


Jimadie Shah Othman
Mac 12, 10
5:08pm



Ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad akan mempersembahkan kepada Sultan Selangor bulan depan, cadangan pindaan terhadap enakmen agama Islam Selangor yang pada masa ini, melarang penggunaan kalimah Allah di kalangan bukan Islam.

Sebelum ini - ekoran kenyataannya yang berpendapat kalimah Allah boleh digunakan oleh bukan Islam - Khalid berdepan dengan kira-kira 60 laporan polis yang dibuat oleh pelbagai NGO dan ahli parlimen Kulim-Bandar Baru, Zulkifli Noordin.

Khalid (kiri) juga turut mencadangkan supaya enakmen agama Islam Selangor dipinda bagi membolehkan kalimah Allah digunakan oleh bukan Islam.

Beliau juga membangkitkan perkara itu ketika mengadap Sultan Selangor tidak lama selepas itu.

Dalam pertemuan tersebut, Khalid mendapat 'lampu hijau' dari baginda untuk mengambil inisiatif menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji enakmen tersebut.

Bercakap dalam sidang akhbar hari ini, Khalid berkata, cadangan pindaan terhadap enakmen tersbut akan siap pertengahan bulan depan.

Berikutan itu, katanya, cadangan pindaan itu sudah boleh dipersembahkan kepada Sultan Selangor bulan depan juga.
Bagaimanapun, katanya, ia bergantung kepada Sultan Selangor untuk menentukan tarikh yang sesuai untuk menerima beliau mengadap.
Diminta mengulas lanjut mengenai intipati cadangan pinadan itu, khalid berkata, pada masa ini, ia telah selesai di peringkat jawatankuasa kecil dan akan dibincangkan oleh jawatankuasa penuh.

Sementara itu, mengulas isu cabaran debatnya terhadap Zulkifli, Khalid berkata, beliau bersedia pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

Ditanya jika Zulkifli enggan menerima cabaran tersebut, Khalid menjawab: “Rakyat akan menilainya. Buktikan beliau bukan badut dan budak hingusan (yang disebutkannya sebelum ini)."

Sementara itu, Khalid juga mengumumkan bahawa menjelang sidang parlimen Isnin ini, beliau sebagai wakil rakyat Shah Alam, akan menganjur sesi dialog dengan penduduk kawasannya berhubung isu cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Katanya, program tersebut diharapkan membolehkannya beliau mendapat maklumat langsung daripada penduduk yang memilihnya dalam pilihan raya umum lalu.

“Kalau banyak persamaan (dalam perbincangan itu), menanglah saya. Kalau banyak perbezaan, kalahlah saya dalam pilihan raya akan datang,” katanya berseloroh

0 comments: